Khamis, 9 April 2009

Ketika dan Kalimat

Bahasa dalam Multimedia telah dijadikan satu subjek yang wajib diambil oleh pelajar kursus Bacelor Sastera (Bahasa dan Linguistik Melayu). Subjek ini juga ditawarkan sebagai subjek elektif bagi pelajar yang lain. Multimedia adalah aplikasi yang mempunyai kombinasi grafik, animasi, audio, video dan realiti maya. Pada amnya, perkataan multimedia yang terkandung dalam subjek ini amat menarik minat setiap pelajar. Ini kerana multimedia merupakan satu komponen yang penting dalam arus kemodenan dunia pada masa kini. Tanpa multimedia, seseorang itu dikatakan sebagai orang yang telah ketinggalan zaman. Boleh dikatakan juga bahawa mutimedia merupakan asas bagi menilai kepakaran dalam seseorang individu. Kebolehan seseorang dalam multimedia akan membawanya melangkah lebih jauh sekiranya ilmu multimedianya itu digunakan dengan penuh manfaat.

Saya telah mengambil kelas Bahasa dalam Multimedia ini pada semester kedua 2008/2009, iaitu semester terakhir bagi saya melanjutkan pelajaran saya di Universiti Putra Malaysia (UPM). Semenjak melangkah kaki ke UPM, saya telah didedahkan dengan tugasan yang memerlukan kepakaran dalam menggunakan komputer. Ini merupakan kejutan yang amat besar bagi saya kerana saya tidak pernah dibiasakan menggunakan komputer sejak di bangku sekolah lagi. Ini merupakan pergumulan yang amat berat bagi saya. Namun, setelah meneliti jadual perancangan yang telah disediakan bagi setiap pelajar oleh fakulti, saya berasa amat gembira apabila mengetahui bahawa terdapat subjek multimedia yang wajib diambil oleh setiap pelajar Bacelor Sastera Bahasa dalam Multimedia. Ini menguatkan lagi semangat saya bagi meneruskan perjuangan saya untuk membuat yang terbaik lebih daripada apa yang diharapkan. Terdetik dalam hati saya supaya memanfaatkan kesempatan yang ada untuk belajar dengan hati yang terbuka apabila saya berada dalam kelas Bahasa dalam Multimedia ini kelak.

Pada awal bulan Januari 2009, saya telah menghadiri kelas ini. Pengajar bagi subjek ini adalah Dr Normaliza. Dalam kelas ini, setiap orang dikehendaki membentuk satu kumpulan. Satu kumpulan perlu terdiri daripada enam orang ahli. Apapun aktiviti yang diadakan di dalam kelas, aktiviti itu hendaklah dijalankan atau dilakukan secara berkumpulan. Telah dimaklumkan oleh Dr Normaliza bahawa setiap orang perlu bijak memilih ahli kumpulannya. Ini kerana ahli yang tidak mempunyai sikap bertanggungjawab akan mempengaruhi markah setiap ahli dalam kumpulannya sendiri. Pendek kata, kerana nila setitik, rosak susu sebelangga. Itulah yang telah ditekan oleh Dr Normaliza. Penekanan yang telah diberi oleh Dr Normaliza telah membuat saya berfikir. Melalui kerja berkumpulan ini, saya berfikir dan mendapati bahawa tindakan seperti ini mendatangkan kebaikan bagi setiap pelajar.
Bagi saya, setiap pelajar diajar untuk saling menjaga di antara satu sama lain. Ini dapat menyingkirkan sikap yang pentingkan diri sendiri. Tanpa kerjasama, tugasan tidak akan dapat dilakukan dengan sempurna kerana ia memerlukan tanggungjawab setiap ahli kumpulan. Dapat dilihat bahawa betapa kesatuan dalam kumpulan itu sangat penting dan mampu memberi kesan yang mendalam dalam kerja berkumpulan. Sikap pentingkan diri sendiri tidak akan wujud apabila ahli kumpulan bersepakat untuk membuat yang terbaik dalam setiap tugasan. Pelajar tidak membuat sesuatu untuk kepentingannya sendiri tetapi dia berusaha dengan sungguh-sungguh supaya kerja dalam kumpulan mendatangkan hasil yang sangat membanggakan. Selain itu, bagi saya secara peribadi, ini akan mengukuhkan hubungan kekeluargaan di antara setiap pelajar. Berada di universiti bukanlah satu jangka masa yang panjang. Dengan adanya kerja berkumpulan ini, setiap pelajar akan mempunyai hak kepemilikan di antara satu sama lain, iaitu saling menjaga di samping belajar untuk mengenali hati budi masing-masing seterusnya dapat mendorong pelajar untuk mempelajari tentang budaya atau tradisi bagi pelajar yang berlainan kepercayaan, kaum dan budaya.

Kerja dalam kumpulan ini juga memampukan saya untuk saling menghormati ahli dalam kumpulan saya. Saya bersyukur kerana ditempatkan dalam kumpulan saya ini. Kumpulan Lestary ini tidak mungkin akan saya lupai setelah melangkah keluar dari UPM. Bagi saya, saya bangga berada dalam kumpulan ini kerana banyak yang saya pelajari dari teman sekumpulan saya ini. Walaupun pada mulanya saya sukar untuk membiasakan diri dengan ahli kumpulan saya, tetapi semuanya berjalan dengan lancar apabila kami sedia menerima kelemahan masing-masing. Ini bukan sahaja mematangkan saya, malah pengalaman ini mengajar saya untuk berhadapan dengan orang yang mungkin tidak sependapat dengan saya. Apa yang penting di sini adalah saya belajar untuk merendahkan hati untuk menerima pendapat teman-teman dalam kumpulan dan berusaha untuk memberi input yang berkesan kepada setiap ahli. Sepanjang empat bulan saya bersama dengan ahli kumpulan saya, kami tidak pernah bercanggah pendapat dan ini membuat semua tugasan kami disiapkan dengan sebaik yang mungkin. Ringkasnya, kalau setiap kita punyai hati yang mahu berdamai dengan orang lain, maka kita juga akan akan mendapat hasilnya iaitu hubungan yang baik antara sesama kita. Itulah yang sebenarnya perlu dalam sesebuah kumpulan.

Sepanjang dalam kelas ini, banyak kerja yang dibuat dalam kumpulan. Saya masih ingat lagi bahawa pelajaran yang pertama dalam kelas adalah mengenai asas grafik. Mula-mula saya tidak mengerti apakah yang dinamakan sebagai asas grafik. Namun setelah diterangkan dengan lebih mendalam oleh Dr Normaliza, saya berjaya menangkap maksud asas grafik dan faham tentang asas grafik. Asas grafik meliputi kesesuaian, keseimbangan, mudah, warna dan teks. Setelah diajar tentang asas grafik, kami telah diberi tugas untuk menghasilkan karya yang memerlukan keratan daripada majalah. Tugasan ini harus dimulai dengan membuat lakaran kasar iaitu perlu membina papan cerita supaya kita tahu apa yang akan kita hasilkan. Dalam hasil ini, setiap ahli kumpulan dikehendaki membuat kerja ini dengan penuh ketelitian. Dari cara beliau berfikir juga menunjukkan bahawa beliau merupakan seorang yang teliti. Di sini saya dapat menilai bahawa Dr Normaliza adalah orang yang mementingkan ketelitian dalam keputusan yang bakal dilakukannya.

Antara tugas yang lain pula adalah membuat e-majalah. Masa yang diberi untuk membuat e-majalah ini adalah selama satu jam setengah. Pada masa ini, saya belajar untuk bekerja dalam keadaan yang tertekan. Dalam konteks ini, Dr Normaliza secara tidak langsung mengajar saya secara peribadi untuk bekerja dalam suatu keadaan yang tertekan. Tertekan ini maksudnya kerja yang perlu disiapkan dalam masa yang singkat. Ini memerlukan kepantasan para pelajar dan di sini juga tahap kesabaran setiap pelajar diuji iaitu bagaimana pelajar berhadapan dengan pelbagai pendapat dan bagaimana cara untuk membuat kesepakatan dalam menghasilkan sesuatu yang baik untuk semua pihak. Semua tugasan yang diberi dalam kelas Dr Normaliza boleh dikatakan dapat meningkatkan disiplin pelajar iaitu menghadapi tugasan dengan perasaan yang tidak membebankan. Saya percaya setiap pelajar turut mendapat manfaat seperti apa yang saya alami iaitu bukan saja memperolehi ilmu pengetahuan, tetapi dalam kelas ini, saya turut menemui diri saya yang sebenar apabila bekerja dalam keadaan yang tertekan.

Setiap tugasan yang diberi oleh Dr Normaliza perlu disiapkan mengikut masa yang ditetapkan. Beliau amat menitikberatkan soal ketetapan masa. Dengan adanya keadaan seperti ini, ia dapat membantu apabila kita berhadapan dengan dunia pekerjaan iaitu mungkin majikan kita sentiasa menginginkan kerja dalam masa yang singkat. Daripada ini juga, saya dapat belajar bagaimana menghasilkan suatu kerja yang bermutu dalam masa yang telah ditetapkan. Kerja dalam tekanan merupakan suatu perkara yang memerlukan ketahanan dari segi mental dan jiwa. Ini kerana apa yang dihasilkan adalah hasil dari pemikiran kita yang kreatif. Jika mental dan jiwa kita tidak dilatih untuk bekerja dalam sesuatu tekanan, maka kita gagal dalam menguruskan keseimbangan dalam hasil kerja kita. Ini kerana tidak baik bagi kita untuk sentiasa berada dalam keadaan yang sering membuat kita selesa. Kita perlu berhadapan dengan masalah atau tekanan supaya kita dibentuk seperti emas yang murni. Di garisan akhir nanti, kita sendiri akan melihat hasil yang telah kita buat dengan titik peluh kita sendiri.

Di samping itu, saya juga bangga dengan diri saya kerana saya tidak pernah ponteng dalam kelas Dr Normaliza ini. Kehadiran saya adalah 100%. Mungkin sepanjang saya berada di UPM, kelas Bahasa dalam Multimedia inilah antara kelas yang tidak pernah saya bolos. Ini adalah satu rekod bagi saya dan ia adalah satu pencapaian yang sangat membanggakan.

Satu perasaan yang aneh timbul apabila tibanya hari Rabu. Ini kerana saya terpaksa bersiap lebih awal kerana Dr Normaliza telah memberi amaran kepada setiap pelajar agar datang kelas sebelum jam 12 tengahari. Sekiranya pelajar datang lambat, ini akan mempengaruhi markah ahli kumpulan. Timbul juga perasaan yang tidak puas hati dengan keadaan seperti itu. Bagi saya, cukup sajalah orang yang datang lambat tu dipotong markahnya, kerana dia patut bertanggungjawab dan dia patut juga memikirkan kepentingan bersama ahli kumpulan. Dari sudut positifnya pula, saya belajar bahawa setiap ahli dalam kumpulan perlu mempunyai sikap yang saling menjaga antara satu sama lain. Tanpa kesatuan, kumpulan akan berpecah belah dan hasil kerja juga tidak akan memuaskan tenaga pengajar.

Keadaan ini membuat saya menghadiri kelas dengan sepantas yang mungkin. Selama 13 minggu saya turun dari kolej kediaman pada pukul 11.30 pagi supaya mendapat tempat yang paling depan, tetapi usaha untuk turun seawal yang saya boleh ini ternyata lambat kerana pelajar-pelajar yang lain lebih awal sampai dan ini menyebabkan mereka menguasai tempat duduk yang di hadapan. Sepanjang kelas ini, kami tidak digalakkan untuk duduk di belakang. Ini adalah arahan yang telah dikeluarkan oleh Dr Normaliza. Ini adalah pengalaman pertama saya di mana terdapat pensyarah yang tidak berapa menyokong pelajar untuk menjadi penghuni di tempat duduk yang paling belakang. Bagi saya, pensyarah seperti ini amat mengambil berat tentang pencapaian para pelajarnya.

Setelah bertungkus lumus untuk datang awal ke kelas, saya mendapati keadaan ini adalah seronok kerana saya masih mempunyai peluang untuk bersaing dengan teman-teman saya. Saya mulai belajar supaya tidak merungut dan saya mahu belajar untuk mengucap syukur kerana saya masih mempunyai peluang untuk belajar di universiti berbanding dengan kawan-kawan saya di kampung. Jadi, saya perlu menggunakan kesempatan yang ada dengan sebaik yang mungkin dan saya bertekad dalam apapun perkara saya lakukan, saya mahu membuat perkara tersebut dengan segenap hati, fikiran dan jiwa saya. Inilah merupakan satu cabaran bagi saya untuk membentuk karektor saya. Saya juga mulai belajar apakah nilai yang hendak disampaikan oleh Dr Normaliza. Semua ini bukan saja mendatangkan kebaikan bagi saya, malah ia membantu meningkatkan disiplin saya apabila berada di alam pekerjaan kelak. Disiplin sangat penting dalam dunia pekerjaaan, terutamanya dalam soal ketepatan masa. Dalam dunia pekerjaan nanti, majikan amat menitikberatkan soal ketepatan masa. Di sini juga majikan akan menilai karektor kita.

Cabaran demi cabaran yang saya tempuhi sepanjang kelas Bahasa dalam Multimedia. Tanpa cabaran, pelajar akan sentiasa berada dalam keadaan yang selesa dan ini tidak akan membuat pelajar tidak berkembang dari segi pemikiran mereka. Antara cabaran yang sukar bagi saya adalah apabila Dr Normaliza mengajar. Saya sangat sukar untuk menangkap pelajaran yang disampaikan oleh Dr Normaliza. Saya tidak dapat membiasakan diri dengan cara bagaimana Dr Normaliza kerana beliau sangat cepat mengajar dan beliau juga tidak meninggalkan nota bagi setiap pelajar. Ini terpulang kepada inisiatif para pelajar untuk mendapatkan nota di kelas. Walau bagaimanapun, cara beliau ini berkesan kerana pelajar dapat memperolehi sesuatu.

Setiap pengajar mempunyai prinsipnya yang tersendiri. Dr Normaliza berbuat demikian kerana beliau mempunyai alasannya yang tersendiri. Memandangkan ini adalah kelas multimedia, beliau meminta setiap kumpulan membawa sebuah kamera. Kamera inilah yang membantu setiap kumpulan untuk mendapatkan nota. Ternyata cara beliau ini adalah untuk mengajar pelajar menggunakan kamera dengan cara yang betul. Ini juga merupakan satu unsur multimedia. Dengan cara beliau ini, saya mengerti bahawa multimedia bukan saja melibatkan komputer tetapi kamera juga merupakan unsur yang penting dalam sesebuah multimedia.

Dalam beberapa minggu setelah menghadiri kelas Dr Normaliza ini, saya mulai faham cara dan prinsip beliau. Daripada prinsip beliau inilah, saya dapat menilai bahawa beliau adalah seorang yang dominan. Orang yang dominan adalah orang yang sangat berani dalam mengutarakan pendapatnya. Orang yang dominan juga seseorang yang sensor iaitu orang yang tidak mudah menyerah kalah dalam apapun keadaan. Orang seperti ini mempunyai semangat yang tinggi untuk berusaha sungguh-sunguh dalam mencapai apa yang diingininya. Satu perkara yang mengagumi saya adalah, orang yang dominan ini tetap teguh dalam mempertahankan prinsipnya. Orang yang dominan juga amat sesuai untuk menjadi pemimpin. Dalam masa yang sama, orang yang dominan ini juga mempunyai kelemahannya. Antaranya ialah, dia adalah seorang yang mementingkan kesempurnaan dalam segala aspek. Selain itu, mungkin orang seperti ini merupakan seseorang yang sukar untuk menerima pendapat orang lain dan sering kali menganggap diri lebih betul. Apabila berhadapan dengan tekanan, fikirannya tidak akan tenang dan ia juga mempunyai sikap yang sukar untuk tidur sehingga masalah tersebut diselesaikan.

Subjek ini turut mempunyai dua jam kredit untuk amali. Kelas amali yang saya hadiri adalah pada setiap hari Khamis jam lapan malam. Banyak perkara yang saya pelajari daripada kelas amali ini. Kalau di kelas, kami dibahagikan kepada kumpulan tetapi dalam amali, kami membuat tugasan secara individu. Tutor dalam kelas amali ini adalah Cik Alia. Dalam kelas amali, saya mendapati bahawa inilah pratikal saya yang sebenarnya. Dalam amali inilah, saya diajar mengguna kemudahan yang terkandung dalam komputer. Ini termasuklah microsoft powerpoint, adopephotoshop dan sebagainya. Di sini juga saya didedah sepenuhnya dalam dunia multimedia yang sangat memerlukan kepakaran setiap pelajar. Di sini juga pelajar perlu mempunyai inisiatif yang berlebihan untuk mempelajari sesuatu. Tanpa usaha yang berlebihan, kita akan ketinggalan untuk menghasilkan tugasan yang penuh kekreatifan.

Tugasan yang pertama dalam kelas amali adalah persembahan powerpoint. Dalam tugasan ini, pelajar perlu memasukkan lagu dan persembahan tersebut perlu dibiarkan bergerak secara automatik. Perkara utama yang terlintas dalam fikiran saya adalah, mana mungkin saya mampu menyiapkan tugasan ini kerana selama ini saya tidak pernah menghasilkan persembahan powerpoint yang sangat kreatif. Saya cuma menggunakan powerpoint itu hanya untuk perbentangan sahaja. Walau bagaimanapun, saya mengambil tanggungjawab ini dengan sikap yang positif. Fikiran saya mengatakan bahawa tanpa belajar atau bertanya pada yang pakar, mana mungkin kita akan mencapai tahap cemerlang atau tahap yang tidak pernah kita sangkakan. Apa yang kelihatan mustahil, itu tidak akan mustahil jika kita mempunyai semangat yang tinggi untuk membuatnya. Dorongan itulah yang menghidupkan semangat saya. Tugasan ini saya mulai dengan hati yang siap untuk belajar.

Saya bermula dengan tahap kosong. Saya bertanya kepada teman-teman saya yang pakar dalam persembahan powerpoint. Walaupun sukar, saya belajar untuk rajin bertanya. Inilah nilai yang perlu ada pada seseorang pelajar iaitu bertanya untuk menambah ilmu pengetahuan. Tanpa bertanya, kita akan sesat jalan dan kita tidak mungkin akan bertumbuh. Inilah yang saya lakukan sepanjang saya menyiapkan tugasan persembahan powerpoint tersebut. Hasilnya, saya berjaya juga akhirnya dalam menghasilkan satu persembahan powerpoint dengan kerja keras saya sendiri. Walaupun ia tidak seberapa jika dibandingkan dengan teman-teman yang lain, saya merasakan cukup puas hati kerana tugasan itu saya siapkan dengan hasil tangan saya sendiri.

Selesainya tugasan persembahan multimedia, kami diberi tanggungjawab yang sangat besar iaitu membuat kalender 2009 dengan menggunakan adopephotoshop. Ini memerlukan masa empat minggu untuk menyiapkannya. Secara jujurnya, saya mengatakan saya sangat tertekan dalam menyiapkan kalender ini. Bagi saya, tugasan ini adalah antara tugasan yang sangat sukar bagi saya. Saya mula mempertikaikan apa sebenarnya unsur bahasa yang ingin diterapkan dalam kalender ini.

Pengalaman yang paling memberi kesan kepada saya sepanjang enam semester saya berada di UPM adalah pengalaman mengambil subjek Bahasa dalam Multimedia. Alasannya ialah saya diajar oleh seorang pensyarah yang penuh dengan prinsip dan beliau juga merupakan seorang yang amat tegas. Antara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan adalah, semasa saya berada dalam proses untuk membuat kalender 2009 menggunakan adopephotoshop. Memang tidak dapat dinafikan bahawa saya menyiapkan tugasan ini dengan airmata. Bagi saya, ia adalah amat sukar. Apabila bertanya dengan teman-teman, mereka seolah-olah kedekut untuk mengongsikan apa yang mereka tahu. Pada mulanya, saya merasa tertolak di saat Cik Alia mengkritik hasil saya secara habis-habisan. Menurut beliau, saya tidak menggunakan unsur adopephotoshop dalam kalender saya itu. Saya merasa malu dengan diri saya kerana saya dikritik di hadapan teman-teman saya. Ini membuat saya semangat saya jatuh. Sepanjang malam saya sedih memikirkan apa yang dikatakan oleh Cik Alia. Saya hampir putus asa. Saya hampir memilih untuk tidak membuat sebarang perubahan pada kalender saya itu.

Tiba-tiba, ada sesuatu yang terdetik di hati saya. Kata hati saya itu seolah-olah menyedarkan saya. Saya teringat akan motto yang telah ternanam dalam diri saya. Motto saya yang mengatakan `Seorang Pemenang Bukanlah Orang yang Tidak Pernah Gagal, tetapi ia adalah Orang yang Tidak Mudah Menyerah Kalah` telah menguatkan saya kembali. Setelah ditegur oleh kata hati sendiri, saya kembali bangkit dan bertekad dalam hati supaya apapun yang saya buat haruslah dilakukan dengan segenap hati, fikiran dan jiwa saya. Saya mengambil tindakan untuk mengubah kembali hasil kerja saya. Di sini saya belajar dalam apapun keadaan, kita harus siap dan mempunyai hati yang besar untuk menerima sebarang kritikan. Hati yang besar inilah yang akan menentukan arah tujuan kita dalam apapun aspek. Hati yang besar ini adalah seumpama getah yang siap ditarik seluas-luasnya. Akhirnya, saya berjaya mengubah kalender saya dalam masa tiga hari sahaja. Walaupun penat, tetapi ia mengajar saya supaya terus kuat dalam menghadapi segala apapun bentuk halangan atau cabaran. Saya turut dikuatkan oleh sokongan daripada teman-teman rapat saya. Inilah pentingnya komunitas bagi setiap orang di dunia ini. Siapa kawan kita akan menentukan siapa diri kita. Mereka sering menguatkan saya dengan kata-kata dorongan.

Tugasan dalam amali setelah membuat kalender adalah membuat laman web. Laman web ialah koleksi laman dan item-item yang berkaitan seperti dokumen, grafik yang disimpan di `web server`. Laman web juga adalah web yang terdiri daripada koleksi elektronik laman dunia. Setiap dokumen elektronik di dalam web ini dipanggil laman web. Di kelas amali, kami diberi tugasan untuk membuat laman web secara `offline`. Ini bermaksud walaupun tidak disambungkan dengan internet, laman web yang dihasilkan dapat dibaca. Saya amat menghargai apa yang saya belajar ini kerana ia sangat berguna apabila saya melangkah kaki ke alam pekerjaan. Saya dapat memanfaatkan ilmu yang saya perolehi ini mungkin kepada adik-adik saya, teman-teman saya dan sebagainya.

Setelah selesai tugasan membuat laman web, kami diberi tugasan yang terakhir dalam kelas amali iaitu membuat blog. Satu keinginan saya pada zaman saya berada di sekolah menengah adalah mempunyai blog sendiri, tetapi saya tidak tahu bagaimana cara untuk membuatnya. Oleh kerana subjek Bahasa dalam Multimedia inilah, saya didedahkan untuk mencipta blog sendiri. Saya sangat gembira apabila impian saya ketika zaman remaja telah ditunaikan pada zaman saya meningkat dewasa. Ini merupakan satu pencapaian yang tidak pernah saya fikirkan sepanjang pengajian saya di UPM. Saya tidak terfikir bahawa dalam subjek in saya akan diajar untuk menghasilkan blog. Saya fikir dalam subjek ini hanya mengajar perkara-perkara yang membosankan seperti fakta dan sebagainya. Namun, setiap sangkaan saya itu silap. Akhir daripada kursus ini, saya belajar sesuatu yang tidak akan saya dapat di mana-mana pun.

Dalam tugasan menghasilkan blog ini, pelajar diberi tanggungjawab untuk menemuramah tokoh bahasa di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi. Kesempatan untuk menemuramah ini juga merupakan pengalaman pertama saya. Saya merasa bangga kerana saya sempat menemuramah tokoh yang telah memberi sumbangan kepada bangsa dan negara dalam bidang bahasa. Saya telah menemuramah Dr Arbak Othman. Beliau merupakan pensyarah veteran di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi. Beliau bergiat aktif dalam bidang linguistik. Saya sangat gembira kerana saya sempat membuat rencana tentang biodata dan pencapaian beliau di dalam blog saya. Selain membuat catatan tentang tokoh kepengarangan, saya merasakan dengan adanya blog, saya dapat meluahkan isi hati saya secara `online`. Saya antara orang yang beruntung kerana saya memperolehi banyak pengetahuan sepanjang 13 minggu menghadiri kelas Bahasa dalam Multimedia ini.

Adalah baik bagi pelajar diajar oleh seorang pengajar yang tegas supaya pelajar membiasakan diri dalam dunia pekerjaan kelak. Pelajar juga dapat dibiasakan untuk berdikari supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada pensyarah dan hanya menunggu pensyarah menyuap mereka saja. Dalam konteks ini, Dr Normaliza amat jauh berbeza jika dibandingkan dengan pensyarah lain. Perbezaan ini dapat dilihat dari sudut cara beliau berfikir dan cara beliau mengajar. Ringkasnya, subjek ini perlu diajar sedemikian rupa supaya pelajar dapat belajar dengan penuh ketekunan dan tidak mensia-siakan waktu yang ada dan akhirnya memperolehi sesuatu yang sangat bermakna di akhir subjek ini.

Dr Normaliza juga menuntut setiap kumpulan untuk membuat lawatan ke rumah anak yatim di sekitar lembah Klang ini. Kami dikehendaki untuk membuat kerja amal di rumah anak yatim. Lawatan ke rumah anak yatim bukan perkara main-main. Ada tujuan kenapa lawatan ini dilakukan. Selain daripada membuat kerja amal, setiap kumpulan harus mempersembahkan hasil daripada lawatan itu dalam bentuk persembahan multimedia. Saya sempat berfikir kenapa lawatan ini perlu diadakan. Ini kerana bagi saya, ia langsung tiada kaitan dengan subjek Bahasa dalam Multimedia. Namun, saya tetap meneruskan lawatan ini bersama ahli kumpulan saya. Saya masih tidak dapat mengerti apa unsur multimedia yang ingin disampaikan oleh Dr Normaliza dari lawatan ini.

Lawatan ke rumah anak yatim di Rumah Amal Limpahan Kasih merupakan pengalaman saya yang pertama menjejak kaki ke rumah anak yatim. Selama ini, saya tidak penah melangkah kaki ke rumah golongan yang sangat memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak ini. Tiba saja di rumah anak yatim ini, saya menyedari bahawa ramai lagi jiwa yang memerlukan pemulihan iaitu dari segi jiwa mereka. Maksudnya di sini, anak-anak yatim tersebut harus dikuatkan dari segi penerimaan akan diri mereka sendiri. Terdapat segelintir anak-anak yatim ini merasa tertolak kerana sejak mereka lahir lagi, ibu bapa mereka sudah tidak mahu menerima mereka sebagai darah daging sendiri. Anak-anak yatim ini memerlukan sokongan yang kuat supaya mereka tidak merasa tertolak oleh masyarakat. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengenali dengan lebih lagi tentang karektor mereka dan sedaya upaya memberi mereka kata-kata dorongan. Lawatan kumpulan kami ke rumah anak yatim ini mengajar saya untuk memerhatikan keperluan ramai orang yang teraniaya di luar sana. Masih terdapat golongan yang memerlukan kasih sayang di saat kita bahagia bersama dengan keluarga kita sendiri.
Lawatan kami itu berjalan dengan lancar. Sejak hari itu, saya sentiasa mengenang anak-anak yang baru saya kenal itu. Tiba pada masa persembahan multimedia, baru saya tahu kepentingan multimedia yang telah ditugaskan oleh Dr Normaliza. Ini bukan sahaja dapat mengutarakan atau menggambarkan betapa pedihnya perasaan anak-anak yatim yang kekurangan kasih sayang daripada kedua-dua ibu bapa mereka, malah kepentingan multimedia ini dapat membantu pelajar untuk bergiat aktif dalam bidang persiaran. Persembahan multimedia yang telah dilakukan dengan pelbagai kekreatifan menunjukkan potensi yang tersirat dalam setiap pelajar. Tanpa pelajar sedari, mereka rupa-rupanya mempunyai bakat yang perlu diasah dengan lebih tajam lagi. Tanpa disedari juga, pelajar menemui kebolehan yang sebenarnya untuk memilih kerjaya yang benar-benar sesuai bagi mereka.

Secara kesimpulannya, kelas yang berlangsung selama 13 minggu ini telah membantu saya untuk mengoreksi diri saya secara peribadi. Memang banyak perkara yang saya belajar. Ada pengalaman manis dan pahit yang saya tempuhi. Walau bagaimanapun, ia adalah sesuatu yang mematangkan saya. Saya telah dapat menguasai beberapa aspek multimedia sepanjang kelas ini dijalankan. Perkara yang mustahil bagi saya selama ini, sudah tidak mustahil untuk saya capai. Bahasa dalam Multimedia telah menarik minat dan ia sangat penting bagi saya apabila berkecimpungan di alam pekerjaan. Mungkin dalam masa yang terdekat tidak kelihatan kegunaannya tetapi saya percaya bahawa pada masa yang akan datang, apa yang telah saya pelajari di sepanjang kelas Bahasa dalam Multimedia akan membantu saya dalam pelbagai aspek.

Akhir kata, setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih saya ucapkan kepada Dr Normaliza. Well done and You’re the Best!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan